GOLDZHIHER, seorang orientalis terkenal menyatakan: "Tidaklah menghairankan jika Muhammad menjadi seorang Nabi, kerana Isa dan Musa juga nabi. Sesungguhnya yang menghairankan adalah beliau menetap selama 40 tahun di Makkah tanpa belajar sama sekali di sekolah atau berguru dengan seorang guru. Kemudian setelah 40 tahun, beliau tiba-tiba berubah menjadi seorang pemberi fatwa terhebat, pensyarah ternama di mimbarnya, orang yang paling petah bercakap, pemimpin serta pendidik teragung di dunia ini. Inilah yang paling menghairankan mengenai Muhammad.â€
Setiap bangsa pasti memiliki tokoh dipuji dan menjadi inspirasi bagi generasi selepasnya. Kesan peninggalan mereka menjadi sumbangan yang amat bererti untuk kemajuan bangsa dan negara.
Kisah hidup mereka dibukukan, idea dijadikan panduan dan kekentalan semangat mereka menjadi obor optimisme yang sentiasa membakar jiwa generasi baru. Umat Islam di seluruh dunia yang lahir daripada pelbagai etnik budaya dan bangsa sepakat untuk mempunyai seorang yang teragung untuk diikuti. Beliau adalah rasul yang amat dicintai, Muhammad SAW.
Tidak ada seorang manusia pun di bumi ini apabila kita menyebut namanya, mampu melonjakkan revolusi kemanusiaan. Kita berubah menjadi manusia yang bersemangat maju untuk mentadbir alam ini dengan jawatan sebagai Khalifatullah fil Ard. Inilah cetusan himbauan seorang politikus paling ulung, pentadbir negara dan pemimpin seluruh umat di dunia, Muhammad SAW.
Begitulah rahsianya mengapa kita disuruh untuk berselawat ke atas Nabi SAW. Selawat umpama suntikan yang mengandungi kekuatan cinta dan rindu yang mengusik jiwa. Ia mencerahkan wajah, mengukuhkan hentakan kaki dan tangan. ia juga menajamkan akal fikiran dan merubah hidup anda menjadi tertumpu pada perjuangan. Untuk umat, bangsa dan negara!
Selawat adalah bisikan kasih yang mengikrarkan janji manis untuk menjadi setia, reda dan taat. Bukan sekadar hiasan pada bibir, pemanis mulut dan menunjuk riak pada sesama hamba.
Untuk apa selawat jika kenangan kita pada Rasulullah SAW hanya sekadar mengharap pahala yang sepuluh! Sedangkan pada masa sama kita melupakan cita-cita Baginda. Kita meninggalkan perjuangan sunnahnya, membiarkan umat ini mati jiwa dan minda. Sibuk memecah belah perpaduan, suka menyalahkan golongan lain dan hanya memuji golongannya sendiri.
Mar 9, 2009
Rasullulah s.a.w
Post by MOHAMMAD SHOLIHEEN BIN OSMAN at 9:16:00 AM
0 pandangan anda:
Post a Comment